Malaysia Bantu Pertingkat Pendidikan Dunia Ketiga

Posted by Admin On 3:04 PM No comments

MALAYSIA bersedia membantu meningkatkan program memajukan bidang pendidikan, termasuk melatih guru dari negara membangun bagi membolehkan hasrat menyediakan peluang pendidikan kepada semua (EFA) menjelang 2015 seperti ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Malaysia mempunyai banyak kelebihan, termasuk kepakaran dan pengalaman dalam bidang latihan perguruan dan penyediaan infrastruktur pendidikan yang boleh dimanfaatkan membantu negara membangun.

Katanya, program latihan itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco Ke-35, September tahun lalu bahawa Malaysia memperuntukkan AS$5 juta (RM17.5 juta) membantu negara membangun meningkatkan kemudahan pendidikan mereka.

Beliau akan menyatakan komitmen Malaysia itu ketika berucap pada hari kedua Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Unesco, hari ini.

"Sepatutnya negara anggota Unesco dapat melaksanakan EFA menjelang 2015, malangnya banyak negara membangun tidak mampu mencapai sasaran disebabkan masalah ekonomi,” katanya kepada media Malaysia semalam.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga akan berkongsi dengan negara anggota Unesco mengenai pengalaman dan kejayaan program pendidikan pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, tahap pendidikan di Malaysia kini berada pada peringkat amat membanggakan yang mana hanya sebilangan kecil rakyat, terutama anak pendatang di Sabah yang tidak pasti statusnya, tercicir daripada memasuki sistem pelajaran.

Sumber : Berita Harian

0 komen @ catatan: