• Jaga Diri, Hiasi Peribadi

    "Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya." ~ Voltaire

  • Bekerjalah dengan Ikhlas

    "Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan."

  • Hargai Kehormatan Diri

    "Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Kalau tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Orang yang terhormat itu kehormatannya sendiri melarangnya berbuat jahat." ~ Pepatah Arab

  • #

    #

Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

10 Terpilih Sekolah Amanah

Posted by Admin On 7:20 AM No comments

Projek perintis pertingkat akademik hasil perkongsian awam-swasta
PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kementerian Pelajaran semalam melancarkan inisiatif bersama dikenali Sekolah Amanah bertujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik sekolah menerusi konsep perkongsian awam-swasta (PPP).Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak 10 sekolah, masing-masing lima di Johor dan Sarawak dipilih menyertai projek perintis itu di bawah program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, SMK Gelang Patah, SK Kampong Layau, SM Sains Kuching, SMK Bandar Kuching 2, SK Tabuan, SK Empila dan SK Combine.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah terbabit terdiri daripada sekolah berprestasi lemah, sederhana dan baik serta merentasi pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

"Sekolah Amanah bukanlah sekolah elit kerana natijah akhir program ini untuk memastikan setiap sekolah dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan bantuan khususnya kewangan daripada Khazanah.

"Oleh itu, satu unit Sekolah Amanah sudah diwujudkan di kementerian bagi mengawal, menyelia dan memastikan objektif program dicapai selain penubuhan Yayasan AMIR di bawah Khazanah bagi mengendalikan projek perintis ini dalam tempoh lima tahun," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, menerusi program berkenaan, Khazanah akan memberi bantuan nasihat, kepakaran dan kewangan dalam usaha menaikkan lagi prestasi sekolah terbabit dan setakat ini beberapa syarikat korporat serta swasta lain menyatakan minat menyertai program terbabit.

Sementara itu, Azman berkata, Khazanah memperuntukkan RM20 juta setahun bagi melaksanakan program Sekolah Amanah itu selaras komitmennya menyokong usaha kerajaan mentransformasi sistem pendidikan.

Beliau berkata, Johor dan Sarawak menjadi pilihan projek perintis kerana Khazanah banyak menjalankan projek pembangunan di selatan Semenanjung, manakala Sarawak pula kerana pihaknya mahu pembangunan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur kerana program itu akan turut dikembangkan ke Sabah.

INFO: Sekolah Amanah
  1. Mengamalkan konsep perkongsian antara awam dan swasta seperti yang diamalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, England dan Sweden.
  2. Sekolah awam akan diurus bersama oleh rakan kongsi swasta yang berkelayakan dan pengetua daripada perkhidmatan awam di bawah naungan Kementerian Pelajaran.
  3. Menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada sektor awam dan swasta bagi menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih baik untuk pelajar supaya dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.
  4. Berbeza dengan Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah SMART dan Sekolah Wawasan kerana ia menggunakan model pengurusan serta operasi yang berbeza iaitu berteraskan perkongsian awam-swasta.
  5. Terus mengekalkan status awam tetapi lebih bebas untuk bekerjasama dengan rakan kongsi swasta berkelayakan (menerusi yayasan bukan berasaskan keuntungan) yang mempunyai kepakaran, sumber, dana dan kualiti kepimpinan bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang bersesuaian.
  6. Rakan kongsi swasta boleh tergolong daripada institusi pendidikan tinggi, kumpulan alumni dan juga syarikat swasta.
  7. Diberi kelonggaran bagi membuat keputusan mengenai penyampaian kurikulum, pembangunan profesional berterusan, kewangan dan pemerolehan serta pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan inovasi dan memenuhi keperluan komuniti setiap sekolah.
  8. Menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam rangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan watak (kepimpinan dan kreativiti) dan kepuasan pihak yang berkepentingan iaitu pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar.
Sumber: Berita Harian

PMIUM sokong larangan berdua-duaan di IPG

Posted by Admin On 1:24 PM 2 comments

Oleh : Mohd Sabri Bin Jamaluddin*

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ingin merakamkan jutaan tahniah dan syabas kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang diatas larangan tegas yang dikeluarkan oleh pihak pentadbiran mengenai larangan berdua-duaan pelajar mahupun staf di IPG.Ini merupakan satu langkah pencegahan yang terbaik lagi berkualiti bagi saat ini untuk mengekang aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan pengaulan bebas dikalangan lelaki dan perempuan dalam IPG tersebut.

Sememangnya di Universiti Malaya (UM) sendiri, PMIUM tidak pernah terfikir untuk mewujudkan satu memo yang bertujuan khas dikeluarkan untuk melarang mahasiswa mahasiswi yang berbangsa melayu islam khususnya mahupun berbangsa bukan melayu dan bukan islam untuk keluar berdua-duaan dan menaiki kenderaan bersama dengan berlawanan jantina pada satu masa di UM ini. Barangkali ini merupakan satu titik penghubung yang perlu diteruskan dan tindakan ini seharusnya mendapat perhatian dan sokongan dari semua pihak khususnya IPTA/IPTS dan kolej-kolej serta pusat pengajian tinggi yang lain di seluruh Malaysia ini.

PMIUM berpendapat melalui larangan yang dikeluarkan oleh pihak IPG ini,ia merupakan satu usaha yang dapat membantu dan membersihkan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dari dihujani dan dibelenggu dengan pelbagai masalah social yang cukup membimbangkan dan menyedihkan seperti yang berlaku sebelum ini. PMIUM berpendapat kekangan yang dibuat dan tindakan tatatertib yang tegas yang dilakukan oleh IPG merupakan langkah pencegahan yang terbaik bagi menimbulkan pelbagai permasalahan social seperti zina,berdua-duaan,berpelukan dan sebagainya dalam suasana ilmiah yang terbentuk di institusi pengajian tinggi kita di Malaysia.

PMIUM menyokong “0” gejala social di IPTA/IPTS di Malaysia.
PMIUM juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada seluruh pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang,diatas peranan yang dimainkan oleh mereka dan sikap keterbukaan mereka dalam menerima penguatkuasaan undang-undang yang telah dibentuk oleh pihak pentadbiran pengurusan pelajar yang diketuai oleh Pengarahnya sendiri, Dato' Mazlan Mohamad melalui larangan yang dikeluarkannya mengikut bahagian II dalam Tatatertib Am, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Menurut YDP PMIUM, saudara Ahmad Syazwan Hassan,beliau memaklumkan bahawa PMIUM bercita-cita untuk mengikut jejak langkah IPG menerusi akta yang dikeluarkan ini kerana PMIUM melihat akta ini mampu memenuhi Misi dan Visi Universiti Malaya khususnya dibawah kepimpinan Naib Canselor, Prof Gauth Jasmon untuk melahirkan mahasiswa mahasiswi yang bebas dengan anasir negatif dan berbudaya sihat sentiasa dalam lingkaran varsity Malaya ini yang ketika ini dikedudukan 200 universiti terbaik dalam dunia.

PMIUM juga akan menghantar satu memorandum tanda persetujuan dan cadangan kepada pihak UM,dan sekaligus ingin meweujudkan satu hubungan kerjasama bersama pihak IPG menerusi kaedah dan sistem yang dilakukan melalui penguatkuasaan larangan ini.PMIUM ingin mewujudkan kondusif varsiti yang cukup selamat dan bebas dari gejala social dan pergaulan bebas dikalangan mahasiswa mahasiswi khususnya dalam member kefahaman dan pendidikan secara tidak langsung mengenai kefahaman islam dan keindahan islam melalui dakwah kepada seluruh masyarakat kampus.

Sekalung Tahniah Buat IPG.

Penulis adalah mahasiswa tahun ketiga Universiti Malaya. Beliau adalah setiausaha politik kepada Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Sumber : GAMIS

Kursus Ijazah Tak Diiktiraf

Posted by Admin On 1:05 PM 2 comments

ANAK saya baru-baru ini memaklumkan mengenai ijazah sarjana muda perguruan yang diambilnya ada masalah kerana program yang ditawarkan di Institusi Perguruan Tunku Bainun tidak mendapat kelayakan akreditasi.

Pihak institusi perguruan memaklumkan pelajar tidak dapat diberi penempatan sehingga masalah selesai. Saya difahamkan masa yang diambil bagi memperoleh kelayakan itu boleh berlanjutan daripada enam bulan sehingga setahun. Dalam proses mendapatkan kelayakan itu, pelajar diminta membuat kerja kursus tambahan bagi membantu pihak institusi mendapatkan kelayakan bagi program ditawarkan.

Sebelum ini, pelajar ijazah perguruan terbabit juga menerima elaun tertangguh sehingga dua bulan. Kesannya, ada pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk perbelanjaan.Saya mengharapkan setiap program perlu mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum ditawarkan pada peringkat institusi.

Bukan setakat anak kami saja yang resah, tetapi sebagai seorang bapa saya juga tidak tidur malam memikirkan masalah yang menimpa anak saya ini.

BAPA GELISAH,
Selangor.

Sumber : Berita Harian

Mengapa Generasi Muda Tidak Celik Sejarah?

Posted by Admin On 9:00 AM No comments

Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.

Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalah ibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah ?

MOHD ARIF ATAN

Bandar Baru Bukit Beruntung, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

IPGTAA Popularkan Muzik Retro

Posted by Admin On 9:00 AM No comments

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 14 Sept. - Irama retro sentiasa mendapat sambutan hangat peminat muzik tanah air kerana ia mempunyai unsur tradisional dan rakyat yang digubah dengan memasukkan elemen kontemporari yang sedap didengar serta menghiburkan.

Bagi melebarkan elemen muzik berkenaan menerusi bidang pendidikan, seramai enam pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini menubuhkan kumpulan Retro Muzik Nusantara yang diasaskan pada Ogos 2007.Pengasas kumpulan berkenaan terdiri daripada pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan yang mempunyai kebolehan bermain peralatan muzik tradisional yang kebanyakannya pernah mengajar mata pelajaran muzik di sekolah rendah dan menengah.

Mereka terdiri daripada perintis kumpulan muzik berkenaan iaitu Syed Abdullah Syed Sulaiman, Abd. Jamil Sabdin dan Fazli Mohd. Bazin dari Jabatan Ilmu Pendidikan.Ahli kumpulan Retro Muzik Nusantara terdiri daripada Abd. Jamil (ketua alat muzik rebana), Fazli (gitar dan biola), manakala Umran Shamsuddin (keybord), Saiful Bahari Bachik (percussion), Shahriman Abdul Hamid (rebana) dan Shamsuri Shafie (kompang).Kumpulan berkenaan diiringi seramai lapan orang penyanyi yang terdiri daripada guru pelatih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di institut itu.

Menurut Abd. Jamil, penubuhan kumpulan muzik itu antara pengisian kegiatan persembahan sempena majlis keramaian tertentu termasuk menyambut pembesar negeri ke majlis yang dianjurkan oleh IPGTAA.''Pihak institut mahukan pensyarah dan guru pelatih terbabit secara aktif dalam muzik berunsurkan pendidikan dan tradisional untuk acara keramaian tertentu.

''Di samping itu, kita juga dapat menghidupkan kembali warisan muzik Melayu tradisional malah dapat menerapkan elemen berkenaan kepada guru pelatih untuk diaplikasikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Pensyarah Pendidikan, Fazli Mohd. Bazin, 42, berkata, hasrat ahli kumpulan berkenaan adalah 'memasyarakatkan' muzik retro di kalangan penduduk daerah Lipis dan tempat lain di negeri ini.''Genre muzik itu sudah mendapat tempat di hati peminat di daerah ini dan luar apabila kumpulan kami kerap diundang ke majlis keramaian dan festival kesenian dan kebudayaan di serata tempat," kata Fazli.

Menurut Fazli, ahli kumpulan itu berbangga apabila diberi penghormatan menyampaikan persembahan di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pembesar negeri sempena Hari Keputeraan baginda di Padang Majlis Perbandaran Maran, Pahang, baru-baru ini.

Selain aktif menghidupkan acara dalaman di institut itu, kumpulan tersebut pernah mengadakan persembahan di Majlis Konvokesyen IPGTAA, Majlis Hari Keputeraan Sultan Pahang di Benta (2008), pertunjukan Hari Terbuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan (2008 dan 2009) dan majlis keramaian di bandar ini.Pemain keyboard, Umran berkata, kebanyakan lagu yang didendangkan merupakan lagu tradisional Melayu dan rakyat yang digubah sesuai dengan peralatan muzik tradisional dan moden.

''Lagu-lagu yang kerap dimainkan dan dialunkan oleh penyanyi kami ialah lagu rakyat yang masih malar segar iaitu Menghilir Sungai Pahang, Lemak Manis, Bisanya Keris, Nazam Pak Kadok, Syair Gurindam Endoi dan beberapa buah lagu rakyat Pahang," katanya.Dia menambah, sejajar untuk memurnikan irama retro dan tradisional, kumpulan berkenaan juga bersedia mengadakan persembahan di mana-mana majlis keramaian dan kenduri kendara dengan menghubungi mereka di institut ini.

Program Tautan Kasih ziarah 31 murid Pendidikan Khas

Posted by Admin On 8:33 AM No comments

KUALA LIPIS 14 Sept. - Kelab Afzan Bikers (KAB), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) dekat sini mengadakan program Tautan Kasih dengan disertai seramai 31 murid Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Ibrahim di sini baru-baru ini.

Ahli KAB terdiri daripada empat pensyarah kanan di institut itu menziarahi murid Kelas Pendidikan Khas sekolah berkenaan sempena pengisian amal bulan Ramadan lalu.Menerusi program Tautan Kasih itu, ahli KAB turut beramah mesra dengan kumpulan murid tersebut bersama 10 guru Kelas Pendidikan Khas sekolah itu di samping menyumbangkan kuih dan duit raya kepada kanak-kanak berkenaan.

Menurut Pengerusi KAB, Shahman Abd. Rashid, program itu merupakan wahana terbaik mendekati murid kurang upaya yang memerlukan perhatian kebajikan dan sokongan moral.''Sebagai pendidik profesional, sememangnya tugas kami untuk menjalinkan hubungan yang akrab dengan murid berkenaan agar mereka tidak berasa rendah diri di samping menyuntik motivasi lebih yakin untuk menjalani kehidupan berasaskan terma pendidikan yang diperoleh secara formal.

''Program itu juga dapat merapatkan hubungan antara IPGKTAA dengan guru dan pentadbir sekolah ini khususnya bertukar pendapat mengenai bidang Pendidikan Khas," katanya kepadaUtusan Malaysia di SK Wan Ibrahim di sini baru-baru ini.Hadir sama Guru Besar SK Wan Ibrahim, Hasami Mohamad dan Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGKTAA, Dzulkarnain Mat.Shahnam yang juga pensyarah kanan Bahasa Melayu menjelaskan, program itu paling bermakna dan mencapai objektif ahli KAB kerana melihat wajah ceria dan keriangan murid berkenaan menyambut rombongan dan mencuba membonceng motosikal berkuasa tinggi.

''Kunjungan ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan membabitkan guru pelatih dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan juga perkampungan Orang Asli di daerah Lipis," katanya.Sementara itu Hasami berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada ahli KAB menzahirkan keprihatinan kebajikan dan motivasi kepada murid kurang upaya sekolah berkenaan menerusi kunjungan singkat itu.''Kunjungan ahli KAB ke sekolah ini menterjemahkan nilai kemanusiaan menerusi pendidikan di samping dapat berkongsi keceriaan kepada murid ini yang memerlukan perhatian," katanya.

Kelas Pendidikan Khas menurut Hasami, sebelum ini mempunyai ruang yang sempit telah bertambah kepada dua kelas dapat menampung seramai 31 murid di bawah Program Kelas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) Kementerian Pelajaran.''Kelas itu bakal menjadi kelas yang terbaik di Pahang apabila dilengkapi sebuah bilik terapi tidak lama lagi di samping memerlukan sumbangan dan sokongan daripada pihak luar untuk merealisasikan pembelajaran dan kebajikan murid berkenaan," katanya.

Seorang guru Pendidikan Khas, Mohd. Bi Samsuri, berkata, kunjungan pensyarah institut itu secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan dengan guru Pendidikan Khas khususnya dalam rangka tugas keguruan profesional menerusi bidang Pendidikan Khas.''Apa yang lebih penting bukan sahaja dapat menceriakan murid tetapi kami dapat bertukar fikiran serta mempelajari kaedah terkini dalam bidang Pendidikan Khas antara elemen pemacu kecemerlangan murid kurang upaya ini," tambahnya.

Siswa dinasihatkan Berhati-hati Guna Facebook

Posted by Admin On 7:32 AM No comments

Siswa dinasihatkan Supaya Berhati-hati guna Facebook, PM Mahu SKMM Tegas
PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati memuatkan sebarang artikel atau kenyataan sensitif dan menghina agama di laman web atau laman sosial.

Perdana Menteri berkata, semua pihak di negara ini perlu sedar bahawa sebarang pengisian di laman web yang keterlaluan akan menyentuh perasaan pihak yang terlibat.

"Mereka (yang terbabit) patut sedar bahawa laman web ini bukanlah satu kebebasan mutlak yang membolehkan kita melakukan apa saja termasuk menghina agama atau peribadi orang lain.

"Kita mesti menggunakan alternatif media ini dengan rasa penuh tanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecenderungan pihak yang tidak bertanggungjawab kebelakangan ini yang menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina agama di laman web atau laman sosial seperti Facebook.

Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) kelmarin membuat laporan polis berhubung satu akaun Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.

- KOSMO!

Lesen Perguruan untuk Guru

Posted by Admin On 3:37 PM No comments

KOTA BHARU 21 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, jawatankuasa disiplin di kementerian sudah mencukupi untuk menjaga integriti tetapi pada masa sama cadangan itu masih perlu diberi perhatian serius."Isu integriti guru menjadi perhatian kementerian bagi memastikan profesion perguruan terpelihara imej dan martabatnya, kalau integriti tercemar, akhirnya orang hilang kepercayaan kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-18 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini hari ini.Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Dali Hussin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa; Yang Dipertua PIBG SMK Kemumin, Mohd. Noor Abdullah dan Pengetua sekolah tersebut, Fauziah Mohamed.

Mohd. Puad mengulas laporan akhbar mengenai seorang guru lelaki yang didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula Mac lalu sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya.

Mohd. Puad berkata, langkah untuk mengeluarkan lesen perguruan itu telah diamalkan di beberapa buah negara seperti di Kanada dan Australia."Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana kita mempunyai guru yang ramai kira-kira 390,000 orang."Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan ini dan merasakan sudah sampai masanya kita melihat lesen perguruan secara serius seperti mana yang diamalkan oleh beberapa buah negara," katanya.Sementara itu, beliau merasa amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Sarawak itu dan pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis sebelum tindakan lanjut diambil.Katanya, ia merupakan kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sikap guru yang ada di negara ini

Sumber : Utusan

Had 25 Pelajar Setiap Kelas Disokong

Posted by Admin On 6:06 PM No comments

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyambut baik cadangan mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah sebagai antara langkah mengatasi beban tugas guru, tetapi menyifatkannya sebagai tidak realistik untuk dilaksanakan atas faktor kekangan kewangan.

Mereka juga berpendapat langkah berkenaan tidak akan dapat mengatasi sepenuhnya masalah utama yang sedang dihadapi itu selagi guru dibebani tugas bukan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, terutama kerja perkeranian.Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata cadangan itu bukan penyelesaian menyeluruh, sebaliknya hanya dapat mengurangkan beban tugas kerana guru masih terpaksa melakukan kerja seperti merekod data.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah paling signifikan ialah memastikan tugas guru hanya memfokus secara mutlak kepada pengajaran dan pembelajaran, sekali gus mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah bagi melicinkan urusan kerja lain.

“Cadangan ini dilihat lebih memberi kesan positif dari segi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kerana guru dapat memberi perhatian rapi kepada setiap murid dalam bilangan yang kecil, tetapi langkah itu tidak membantu menghapuskan beban tugas guru jika mereka masih diberi kerja perkeranian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata perancangan rapi perlu dilakukan segera bagi merealisasikan hasrat mengehadkan bilangan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas.

“Pada prinsipnya kami sambut baik tapi kalau betul cadangan itu hendak dipenuhi, kerajaan mesti ambil langkah positif dan proaktif seperti membina lebih banyak sekolah bertingkat dan memastikan guru terlatih lebih ramai.

“Sebab kalau dilihat dari premis dan ruang sekarang memang amat sukar untuk penuhi kehendak itu, kalau memenuhi bilangan pelajar satu kelas 35 orang itu agak praktikal, tapi untuk mengehadkan 25 pelajar satu kelas, saya fikir kerajaan perlu berbuat sesuatu dengan bangunkan lebih banyak kemudahan,” katanya.

Tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berpendapat usaha mengehadkan bilangan murid kepada 25 orang itu tidak membantu mengatasi beban tugas guru, sebaliknya kerajaan perlu menggunakan sistem pendidikan lama dengan mengehadkan tugas guru untuk mendidik murid saja berbanding memberi pelbagai tugas tambahan kepada guru.

Beliau berkata, tugas tambahan guru yang tidak relevan seperti menghadiri mesyuarat atau tugas pentadbiran seperti mengisi borang akan menjejaskan prestasi pengajaran dan pembelajaran murid kerana tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya.

“Dulu masa saya mengajar murid ramai juga lebih 40 orang, tidak ada masalah, ada sekali saya ajar pelajar Tingkatan Tiga subjek Sejarah, satu kelas ada 45 pelajar, 43 pelajar dapat A. Dulu guru beri perhatian pada setiap murid, dia tidak anggap satu kelas sebagai satu murid, kalau pelajar 40 orang, mereka beri perhatian pada setiap murid, tidak perlu buat kerja lain macam isi borang, tapi kegiatan kokurikulum kita buat juga, macam aktiviti sukan.

“Jadi tidak perlulah kerajaan cuba membuat ‘eksperimen’ lagi, gunakan model lama yang sudah terbukti berjaya dengan mendapat pandangan orang lama, cadangan hadkan bilangan murid memang baik tapi sukar dilakukan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Azimah Abdul Rahim, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan itu walaupun menyedari ia tidak realistik kerana memerlukan kos yang tinggi sama ada dari segi logistik, pengambilan guru dan penambahan bilangan sekolah.

“Memang sepatutnya bilangan pelajar dihadkan seperti di negara maju tapi masalahnya mana nak letak pelajar yang berlebih, guru pula tidak cukup. Banyak lagi masalah pendidikan asas yang perlu diselesaikan, walaupun cadangan ini baik tapi realitinya kementerian tidak mampu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Seimbangkan Guru

Posted by Admin On 9:20 AM No comments

Dua kesatuan guru menyokong penuh saranan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi untuk menyeimbangkan pengambilan calon guru lelaki pada tahun ini pada kadar sama iaitu masing-masing 50 peratus untuk guru lelaki dan perempuan.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Arshad, berkata langkah mengambil lebih ramai calon guru lelaki dialu-alukan kerana jumlah guru perempuan begitu ramai dalam sektor perguruan. "Saya tidak mempersoalkan kemampuan guru perempuan sebaliknya menghormati mereka kerana mempamerkan mutu kerja dan komitmen yang tinggi di samping mempunyai sifat keibuan yang menjadikan tugas sebagai guru lebih konduksif.

“Selain itu, guru perempuan tidak begitu berkira dalam menjalankan tugas sebaliknya memberi buah fikiran yang begitu baik dalam meningkatkan mutu profesionalisme perguruan,” katanya menghubungi Berita Pendidikan.

Mohd Sabri mahu pengambilan lima puluh peratus guru lelaki dan perempuan diasingkan dan persaingan dilakukan dalam jantina yang sama serta yang terbaik saja dipilih untuk mengikuti latihan perguruan di institut di seluruh negara.

“Pemilihan dalam jantina yang sama bakal menjadikan persaingan yang sengit dan sihat tanpa melupakan keperluan yang adil dan saksama bagi penentuan kemasukan untuk mengikuti latihan perguruan.

“Kegiatan kokurikulum dan sukan juga akan dapat dijalankan dengan baik sekiranya guru lelaki diberi tanggungjawab selari dengan dasar kementerian pelajaran mahukan Satu Murid, Satu Sukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, berkata lima perkara dapat diatasi dengan lebih ramai calon guru lelaki diambil untuk mengikuti latihan perguruan.

“Keperluan untuk mempunyai guru lelaki adalah penting di sekolah terutamanya membabitkan aspek disiplin dan pembangunan sukan dalam menangani kekurangan tenaga yang diperlukan.

"Penempatan guru lelaki lebih mudah berbanding perempuan terutama kawasan pedalaman yang membabitkan soal keselamatan, serta penjimatan dan bakal mengurangkan berlaku perpindahan atau pertukaran,” katanya.

Katanya, penambahan kuota guru lelaki dari Sabah dan Sarawak harus dipuji kerana selesai tamat latihan di tempat masing-masing ,mereka lebih memahami budaya tempat mereka dan bertugas dengan penuh semangat untuk anak bangsa sendiri.

“Kalau guru dari Sabah dan Sarawak di tempatkan di kampung halaman mereka, semangat jati diri untuk berkhidmat lebih serta boleh mengubah landskap pendidikan tempatan.

“Masalah untuk ‘balik kampung’ bakal dapat dikurangkan sekiranya guru lelaki kedua-dari dua negeri ini dan secara tidak langsung penjimatan dan kekerapan pertukaran dapat dikurangkan.

Jemale berkata, peratusan penempatan guru iaitu 40 peratus di Semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Sarawak perlu difikirkan sebagai langkah menyelesaikan masalah yang kerap kali berlaku apabila kerajaan menempatkan guru-guru dari Semenanjung di kawasan pedalaman.

"Bagaimanapun, tidak bermakna guru di Semenanjung tidak akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak, kerajaan tetap akan berbuat demikian sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Membestarikan Guru

Posted by sHaMiM SaMsUdDiN On 3:52 PM No comments

Perkhidmatan Bas Di Puduraya Pindah Ke Bukit Jalil Mulai Isnin

Posted by Admin On 10:59 PM No comments

Maklumam kepada semua guru pelatih yang menggunakan perkhidmatan bas ke utara dan selatan yang sebelum ini beroperasi di Hentian Puduraya, perkhidmatan ini akan dipindahkan buat sementara waktu ke padang letak kereta F Bukit Jalil, bersebelahan stadium hoki bermula 12 April ini.

Perpindahan ini merupakan satu langkah alternatif bagi melancarkan kerja-kerja menaiktaraf dan penambahbaikan Hentian Puduraya yang dijangka mengambil masa empat bulan.

Namun begitu, perkhidmatan teksi ke Genting Highlands dan kereta sewa yang menghala ke arah utara dan selatan masih beroperasi di Hentian Puduraya.

Para pengguna boleh ke terminal sementara itu dengan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, teksi dan bas dan sehubungan itu perkhidmatan bas RapidKL disediakan untuk perjalanan dari Bukit Jalil ke Hentian Puduraya dan sebaliknya dengan kekerapan 15 minit setiap ketibaan.

Gerai makan dan ruang niaga serta kemudahan awam seperti surau dan tandas awam disediakan di kawasan tempat letak kereta Stadium Hoki Bukit Jalil bersebelahan dengan terminal sementara itu.

Bagi memudahkan pengguna, kaunter pertanyaan di bawah seliaan Uda Mall turut disediakan di Hentian Puduraya dan terminal sementara Bukit Jalil dan sebarang maklumat lanjut mengenai pemindahan tersebut boleh didapati dengan menghubungi talian hotline 03-20787017 dan 03-20786018.

Malaysia Bantu Pertingkat Pendidikan Dunia Ketiga

Posted by Admin On 3:04 PM No comments

MALAYSIA bersedia membantu meningkatkan program memajukan bidang pendidikan, termasuk melatih guru dari negara membangun bagi membolehkan hasrat menyediakan peluang pendidikan kepada semua (EFA) menjelang 2015 seperti ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Malaysia mempunyai banyak kelebihan, termasuk kepakaran dan pengalaman dalam bidang latihan perguruan dan penyediaan infrastruktur pendidikan yang boleh dimanfaatkan membantu negara membangun.

Katanya, program latihan itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco Ke-35, September tahun lalu bahawa Malaysia memperuntukkan AS$5 juta (RM17.5 juta) membantu negara membangun meningkatkan kemudahan pendidikan mereka.

Beliau akan menyatakan komitmen Malaysia itu ketika berucap pada hari kedua Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Unesco, hari ini.

"Sepatutnya negara anggota Unesco dapat melaksanakan EFA menjelang 2015, malangnya banyak negara membangun tidak mampu mencapai sasaran disebabkan masalah ekonomi,” katanya kepada media Malaysia semalam.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga akan berkongsi dengan negara anggota Unesco mengenai pengalaman dan kejayaan program pendidikan pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, tahap pendidikan di Malaysia kini berada pada peringkat amat membanggakan yang mana hanya sebilangan kecil rakyat, terutama anak pendatang di Sabah yang tidak pasti statusnya, tercicir daripada memasuki sistem pelajaran.

Sumber : Berita Harian

Bakal Guru Pedalaman Akan Dimotivasi

Posted by Admin On 4:19 PM No comments

KUALA LUMPUR: Guru-guru yang bakal dihantar ke kawasan pedalaman akan dimotivasi terlebih dulu sebagai persediaan mental dan fizikal mereka.

“Bagi tujuan itu, kumpulan sokongan akan diadakan bagi memotivasikan guru terbabit menerusi program orientasi,” kata "Tahun ini kita akan menghantar 5,292 guru ke kawasan pedalaman di mana mereka perlu disediakan dengan ketahanan mental dan fizikal.

"Seperti rawatan kepada pesakit kanser, maka kita kena minta bekas pesakit kanser sendiri untuk memberi semangat kepada pesakit yang sedang menerima rawatan bagi meneruskan kehidupan mereka," katanya di sini, hari ini.

Puad berkata, guru yang bakal dihantar mengajar di pedalaman akan dimaklumkan lebih awal berhubung penghantaran mereka supaya dapat membuat persediaan awal, seperti keperluan menguruskan soal tempat tinggal.

"Kita sedia maklum dengan masalah tempat tinggal guru di pedalaman sementara kerajaan sedang berusaha untuk membina rumah guru yang lebih selesa," katanya. - Bernama


Sumber : Berita Harian