Lesen Perguruan untuk Guru

Posted by Ahsfantasy Ryu On 3:37 PM No comments

KOTA BHARU 21 Mei - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen perguruan yang dikeluarkan oleh sebuah badan profesional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, jawatankuasa disiplin di kementerian sudah mencukupi untuk menjaga integriti tetapi pada masa sama cadangan itu masih perlu diberi perhatian serius."Isu integriti guru menjadi perhatian kementerian bagi memastikan profesion perguruan terpelihara imej dan martabatnya, kalau integriti tercemar, akhirnya orang hilang kepercayaan kepada guru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-18 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin di sini hari ini.Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kelantan, Dali Hussin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa; Yang Dipertua PIBG SMK Kemumin, Mohd. Noor Abdullah dan Pengetua sekolah tersebut, Fauziah Mohamed.

Mohd. Puad mengulas laporan akhbar mengenai seorang guru lelaki yang didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Sibu, Sarawak ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula Mac lalu sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya.

Mohd. Puad berkata, langkah untuk mengeluarkan lesen perguruan itu telah diamalkan di beberapa buah negara seperti di Kanada dan Australia."Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana kita mempunyai guru yang ramai kira-kira 390,000 orang."Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan ini dan merasakan sudah sampai masanya kita melihat lesen perguruan secara serius seperti mana yang diamalkan oleh beberapa buah negara," katanya.Sementara itu, beliau merasa amat dukacita dengan kejadian yang berlaku di Sarawak itu dan pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis sebelum tindakan lanjut diambil.Katanya, ia merupakan kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan sikap guru yang ada di negara ini

Sumber : Utusan

0 komen @ catatan: