Program Tautan Kasih ziarah 31 murid Pendidikan Khas

Posted by Admin On 8:33 AM No comments

KUALA LIPIS 14 Sept. - Kelab Afzan Bikers (KAB), Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) dekat sini mengadakan program Tautan Kasih dengan disertai seramai 31 murid Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Ibrahim di sini baru-baru ini.

Ahli KAB terdiri daripada empat pensyarah kanan di institut itu menziarahi murid Kelas Pendidikan Khas sekolah berkenaan sempena pengisian amal bulan Ramadan lalu.Menerusi program Tautan Kasih itu, ahli KAB turut beramah mesra dengan kumpulan murid tersebut bersama 10 guru Kelas Pendidikan Khas sekolah itu di samping menyumbangkan kuih dan duit raya kepada kanak-kanak berkenaan.

Menurut Pengerusi KAB, Shahman Abd. Rashid, program itu merupakan wahana terbaik mendekati murid kurang upaya yang memerlukan perhatian kebajikan dan sokongan moral.''Sebagai pendidik profesional, sememangnya tugas kami untuk menjalinkan hubungan yang akrab dengan murid berkenaan agar mereka tidak berasa rendah diri di samping menyuntik motivasi lebih yakin untuk menjalani kehidupan berasaskan terma pendidikan yang diperoleh secara formal.

''Program itu juga dapat merapatkan hubungan antara IPGKTAA dengan guru dan pentadbir sekolah ini khususnya bertukar pendapat mengenai bidang Pendidikan Khas," katanya kepadaUtusan Malaysia di SK Wan Ibrahim di sini baru-baru ini.Hadir sama Guru Besar SK Wan Ibrahim, Hasami Mohamad dan Ketua Unit Khidmat Pengurusan IPGKTAA, Dzulkarnain Mat.Shahnam yang juga pensyarah kanan Bahasa Melayu menjelaskan, program itu paling bermakna dan mencapai objektif ahli KAB kerana melihat wajah ceria dan keriangan murid berkenaan menyambut rombongan dan mencuba membonceng motosikal berkuasa tinggi.

''Kunjungan ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan membabitkan guru pelatih dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan juga perkampungan Orang Asli di daerah Lipis," katanya.Sementara itu Hasami berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada ahli KAB menzahirkan keprihatinan kebajikan dan motivasi kepada murid kurang upaya sekolah berkenaan menerusi kunjungan singkat itu.''Kunjungan ahli KAB ke sekolah ini menterjemahkan nilai kemanusiaan menerusi pendidikan di samping dapat berkongsi keceriaan kepada murid ini yang memerlukan perhatian," katanya.

Kelas Pendidikan Khas menurut Hasami, sebelum ini mempunyai ruang yang sempit telah bertambah kepada dua kelas dapat menampung seramai 31 murid di bawah Program Kelas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) Kementerian Pelajaran.''Kelas itu bakal menjadi kelas yang terbaik di Pahang apabila dilengkapi sebuah bilik terapi tidak lama lagi di samping memerlukan sumbangan dan sokongan daripada pihak luar untuk merealisasikan pembelajaran dan kebajikan murid berkenaan," katanya.

Seorang guru Pendidikan Khas, Mohd. Bi Samsuri, berkata, kunjungan pensyarah institut itu secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan dengan guru Pendidikan Khas khususnya dalam rangka tugas keguruan profesional menerusi bidang Pendidikan Khas.''Apa yang lebih penting bukan sahaja dapat menceriakan murid tetapi kami dapat bertukar fikiran serta mempelajari kaedah terkini dalam bidang Pendidikan Khas antara elemen pemacu kecemerlangan murid kurang upaya ini," tambahnya.

0 komen @ catatan: