IPGTAA Popularkan Muzik Retro

Posted by Admin On 9:00 AM No comments

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 14 Sept. - Irama retro sentiasa mendapat sambutan hangat peminat muzik tanah air kerana ia mempunyai unsur tradisional dan rakyat yang digubah dengan memasukkan elemen kontemporari yang sedap didengar serta menghiburkan.

Bagi melebarkan elemen muzik berkenaan menerusi bidang pendidikan, seramai enam pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini menubuhkan kumpulan Retro Muzik Nusantara yang diasaskan pada Ogos 2007.Pengasas kumpulan berkenaan terdiri daripada pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan yang mempunyai kebolehan bermain peralatan muzik tradisional yang kebanyakannya pernah mengajar mata pelajaran muzik di sekolah rendah dan menengah.

Mereka terdiri daripada perintis kumpulan muzik berkenaan iaitu Syed Abdullah Syed Sulaiman, Abd. Jamil Sabdin dan Fazli Mohd. Bazin dari Jabatan Ilmu Pendidikan.Ahli kumpulan Retro Muzik Nusantara terdiri daripada Abd. Jamil (ketua alat muzik rebana), Fazli (gitar dan biola), manakala Umran Shamsuddin (keybord), Saiful Bahari Bachik (percussion), Shahriman Abdul Hamid (rebana) dan Shamsuri Shafie (kompang).Kumpulan berkenaan diiringi seramai lapan orang penyanyi yang terdiri daripada guru pelatih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di institut itu.

Menurut Abd. Jamil, penubuhan kumpulan muzik itu antara pengisian kegiatan persembahan sempena majlis keramaian tertentu termasuk menyambut pembesar negeri ke majlis yang dianjurkan oleh IPGTAA.''Pihak institut mahukan pensyarah dan guru pelatih terbabit secara aktif dalam muzik berunsurkan pendidikan dan tradisional untuk acara keramaian tertentu.

''Di samping itu, kita juga dapat menghidupkan kembali warisan muzik Melayu tradisional malah dapat menerapkan elemen berkenaan kepada guru pelatih untuk diaplikasikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Pensyarah Pendidikan, Fazli Mohd. Bazin, 42, berkata, hasrat ahli kumpulan berkenaan adalah 'memasyarakatkan' muzik retro di kalangan penduduk daerah Lipis dan tempat lain di negeri ini.''Genre muzik itu sudah mendapat tempat di hati peminat di daerah ini dan luar apabila kumpulan kami kerap diundang ke majlis keramaian dan festival kesenian dan kebudayaan di serata tempat," kata Fazli.

Menurut Fazli, ahli kumpulan itu berbangga apabila diberi penghormatan menyampaikan persembahan di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pembesar negeri sempena Hari Keputeraan baginda di Padang Majlis Perbandaran Maran, Pahang, baru-baru ini.

Selain aktif menghidupkan acara dalaman di institut itu, kumpulan tersebut pernah mengadakan persembahan di Majlis Konvokesyen IPGTAA, Majlis Hari Keputeraan Sultan Pahang di Benta (2008), pertunjukan Hari Terbuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan (2008 dan 2009) dan majlis keramaian di bandar ini.Pemain keyboard, Umran berkata, kebanyakan lagu yang didendangkan merupakan lagu tradisional Melayu dan rakyat yang digubah sesuai dengan peralatan muzik tradisional dan moden.

''Lagu-lagu yang kerap dimainkan dan dialunkan oleh penyanyi kami ialah lagu rakyat yang masih malar segar iaitu Menghilir Sungai Pahang, Lemak Manis, Bisanya Keris, Nazam Pak Kadok, Syair Gurindam Endoi dan beberapa buah lagu rakyat Pahang," katanya.Dia menambah, sejajar untuk memurnikan irama retro dan tradisional, kumpulan berkenaan juga bersedia mengadakan persembahan di mana-mana majlis keramaian dan kenduri kendara dengan menghubungi mereka di institut ini.

0 komen @ catatan: